Blog untuk belajar buat duit online,serta tutorial tutorial yang membantu anda dalam kehidupan

Selasa, 8 November 2011

Falsafah muzik didalam islam

Pada post kali ini, penulis mahu menunjukkan satu artikel dari Oleh Syed Ali Tawfik Al-Attas Dari kolum Cetusan Pemikiran – Mingguan Malaysia 16 Mac 2008. artikelnya berbunyi begini:

Pada umumnya muzik dilihat sebagai seni untuk hiburan, akan tetapi ia juga boleh dianggap suatu sains yang tersendiri, yang mempunyai mauduknya yang dibahaskan berpandukan kepada manhaj yang khusus baginya.

Terdapat nukilan yang terkenal dari Hikayat Seribu Satu Malam: “Bagi sebahagian orang, muzik umpama makanan; bagi yang lain ia seumpama ubat; dan bagi yang lain pula ia umpama kipas.” Demikianlah kaum Muslimin menganggap muzik. Walaupun kaum Muslimin banyak meminjam dari teori muzik kaum Yunani purba, mereka juga telah menyumbang ke arah menyempurna dan seterusnya mengembangkan lagi sains ini sehingga membawa kepada perasaan sedemikian terhadap muzik.


Sebab itulah Henry George Farmer mengatakan: “Anda boleh menelusuri keseluruhan kesusastraan Yunani dan tidak akan menemui perasaan sedemikian.” Beliau menambah: “Para pengikut Pythagoras telah memberikan pernyataan awal berkenaan faham kerohanian muzik Islam, akan tetapi ia masih kabur dan jauh tersorok di alam pemikiran Yunani.” Menurut faham muzik Islami, muzik bukan saja suatu sains tetapi juga seni, seni yang menghibur, menyuburkan hati, menenangkan jiwa dan yang terpenting, dalam bahasa sufi ia menjadi wasilah bagi menyatakan keasyikkan dan kerinduan terhadap Yang Maha Suci.


Al-Ghazali menegaskan dalam Ihya’nya bahawa muzik (sama’) mampu mendatangkan keasyikan rabbani, melaluinya tercapai hakikat. Beliau cuba menjelaskannya dengan kata-kata berikut: “Hati dan pemikiran halus adalah seumpama lombong rahsia dan khazanah batu-batu berharga. Di dalamnya terdapat jawhar seumpama percikan api yang terdapat dalam besi… Tiada jalan lain yang mengeluarkan rahsianya melainkan dengan mendengar muzik, kerana tiada jalan yang menghubungkan hati selain dari telinga… kerana sebaik saja semangat muzik menyentuh jiwa, ia menzahirkan apa saja yang menguasainya.”


Rasulullah dikhabarkan amat menyukai suara merdu Abu Musa al-Ash’ari dan berkata: “Kamu telah dikurniakan salah satu dari seruling Nabi Daud.” Seperti yang diketahui umum, Nabi Daud memiliki suara yang amat merdu, yang menarik perhatian bukan saja manusia bahkan haiwan sekalipun apabila baginda menyanyi. Ini bermakna bahawa Rasulullah mengetahui nilai dan menghargai bunyi-bunyian yang indah, yang tidak lain dari muzik.



Sebab itulah generasi awal Muslimin amat menghargai keindahan suara manusia. Muhammad bin Abd Rabbihi (860-940) berkata: “Suara yang indah menggerakkan tubuh dan mengalir ke dalam salur darah. Akibatnya darah menjadi murni, hati menjadi tenang, jiwa menjadi galak, anggota badan menjadi resah dan bergerak-gerak. Oleh sebab itu kanak-kanak tidak sepatutnya ditidurkan selepas menangis melainkan dengan muzik dan nyanyian.”


Ahmad Ibn Abi Dawud (m.854) juga berkata: “Aku pernah mendengar nyanyian Mukhariq di istana Khalifah al-Mu’tasim, dan hamper tidak tertahan tangisanku kerana binatang ganas sekalipun pasti akan jatuh cinta terhadap kemerduan suaranya dan menghargai kehebatannya.”


Berdasarkan kefahaman ini, kaum Muslimin mula membina falsafah muzik sekitar kurun ketiga Hijrah. Ia tidak lain dari kesinambungan terhadap sejarah awal muzik yang bermula dengan kedatangan agama Islam itu sendiri. Bermula dengan nyanyian penunggang unta, seterusnya berkembang menjadi nyanyian yang diiringi alat-alat muzik bertali yang dinamakan muwattar, termasuklah alatan yang kelihatan seperti harp yang dipanggil mi’zafah, dan daff (sejenis tamborin). Pada zaman awal tamadun Islam, penyanyi dan pemuzik yang paling dikenali ialah Tuways (m.705).


Sejajar dengan penaklukan yang semakin berkembang, alatan baru beserta dengan jenis-jenis muzik turut dikenali oleh dunia Islam. Ahli muzik kaum Muslimin mula mempelajari nyanyian dan ala-alat muzik yang baru termasuklah lute ciptaan (alat muzik bertali seumpama gitar). Masyarakat Mekah pada masa itu menggunakan sejenis alat muzik yang hampir sama berupa kotak yang ditutupi kulit kambing, walau bagaimanapun lute orang-orang Parsi mempunyai permukaan kayu, dan reka bentuk Parsi ini lama-kelamaan diterima pakai oleh orang-orang Mekah. Di antara ahli muzik terkenal pada zaman ini ialah ‘Azzat al-Mayla (m.705). Antara peminat beliau ialah Abdullah ibn Ja’far, sepupu Rasulullah.


Pada masa yang sama ahli muzik Muslimin juga terdedah kepada karya-karya filasuf yang pada kurun ketiga Hijrah mula membawa masuk teori-teori muzik Euclid dan pemikir Yunani lain ke dalam alam tamadun Islam. Dengan cara ini, falsafah muzik yang ilmiah mula timbul. Pemikir Muslim, termasuk ahli muzik, mula mentakrifkan muzik sebagai sains berasaskan pengamatan sendiri, juga hasil pengaruh Yunani.


Al-Farabi (m.950) adalah ahli muzik-falsafah Muslim yang pertama menulis karangan lengkap berkenaan falsafah dan teori muzik Islami. Henry George Farmer bahkan menobatkan beliau sebagai pengasas falsafah muzik. Falsafah dan teori muzik beliau diguna sehingga ke hari ini dengan bentuk yang pelbagai setelah melalui pengubahsuaian dan pembaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan